Saturday 30 June 2012

UiTM Puncak Alam

Mendapat pesanan ringkas dari Encik Syukri di UiTM Shah Alam bertanyakan tentang angklung. Tertanya-tanya di mana agaknya beliau mendapat tahu tentang kelab ini. Maka sms dibalas dan terus bertanya dari mana mendapat maklumat tentang kelab angklung SMK Taman Sri Muda. Ahhhhh......dari blog ini rupanya. Bergunakan juga kan.

Setelah bertukar-tukar sms maka persetujuan telah dicapai dan kami akan membuat persembahan makan malam di Fakulti Sains Kesihatan, UiTM Puncak Alam pada 26 Jun 2012 ini. Persembahan selama setengah jam. Pertama kali kami akan membuat persembahan yang agak panjang tanpa henti. Latihan diteruskan pada hari Ahad walaupun kami baru saja turun dari Bukit Fraser Sabtu lalu.

Petang Selasa 26 Jun 2012, jam 6.15 petang kenderaan untuk membawa kami pun tiba. Alatan dipunggah masuk ke dalam kenderaan tersebut dan kami dibawa ke UiTM Puncak Alam. Pertama kali ke sana walaupun lalu dipersimpangan ke sana banyak kali. Azan Maghrib berkumandang sewaktu kami tiba di kawasan parkir kereta. Barang-barang pun dibawa turun dan kami dibawa ke tempat persembahan.


Setelah melihat persekitaran dan menyusun alatan di atas pentas kami pun menunaikan solat maghrib dan kemudian berkumpul semula untuk mendengar sedikit taklimat tentang etika di dalam majlis formal. Pengalaman untuk anak-anak angklung ini.


Apalah yang cikgu bebel ni......ish!
Tepat jam 8.00 malam kami bergerak ke tempat persembahan. Sempat bergambar. Macho dan manis sungguh anak-anak mama ni. Bangga sekejap.


Vest kami yang siap disulam dengan logo kelab dan penaja
'Sound check' sebelum memulakan persembahan dilakukan. Masing-masing mengambil angklung dan bersiap di tempat yang telah ditetapkan. Agak sempit sedikit pentas yang disediakan namun bukan menjadi halangan kepada ahli kelab untuk memberikan persembahan yang terbaik.




Selepas itu kami berehat seketika di luar  dan kemudian masuk semula untuk menikmati makan malam sebelum persembahan.





Kami berhenti menjamu selera buat seketika kerana giliran kami untuk membuat persembahan akan diberitahu nanti. Debaran makin terasa. Ya...pertama kali akan memainkan sepuluh lagu tanpa henti. Lagu-lagu yang akan dimainkan ialah Wau Bulan, Gelang Sipaku Gelang, Anak Ayam, Jinkli Nona, Kuda Hitam, Anak Kampung, Shanghai Beach, Bengawan Solo, Yek Liang dan Kenanganku. Angklung digenggam erat dan arahan diberikan. Maka bermulalah persembahan kami.




Semasa memainkan lagu Shanghai Beach kami mendapat tepukan yang gemuruh. Rupa-rupanya mereka sukakan lagu ini......patutlah. Apabila lagu kelapan dimainkan Encik Syukri memberikan 'sign' untuk memainkan lagu yang terakhir. Maka ahli kelab diarahkan terus ke lagu terakhir Kenanganku. Walaupun di awal lagu, Nizam kita melakukan sedikit kesilapan tetapi tidak mematahkan semangat pemain lain dan terus memberikan persembahan yang terbaik. Tahniah kepada mereka!

Ahli kelab menyambung aktiviti menjamu selera semula setelah selesai persembahan. Semasa makan cabutan bertuah dilakukan dan beberapa ahli kelab bernasib baik mendapat nombor yang bertuah. Setelah semuanya selesai maka sesi bergambar dijalankan.





Berkemas untuk pulang, angklung dikumpulkan. Semua peralatan dibawa keluar sementara menanti DJ meng'copy' CD minus one kami. Eh....ada tetamu dari luar ingin cuba memainkan angklung kami. Ya...seni warisan tradisional...memang menjadi tarikan pelancong.






Pukul 10.45 malam kami mula beredar ke kenderaan yang akan membawa kami pulang. jam 11.30 malam kami tiba di sekolah dengan penuh keletihan tetapi amat gembira. Setelah anak-anak semua dipastikan selamat pulang, cikgu pun beransur pulang ke rumah. terima kasih anak-anak atas persembahan tadi.

No comments:

Post a Comment