Monday 1 August 2016

K.A.W Team Highlight




Kelab Angklung Wariseni merupakan kebitaraan sekolah, Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Sri Muda dan ditubuhkan pada 11 Oktober 2010 oleh Puan Norazlena Binti Lazim. Dalam setiap persembahan kelab menggunakan kemahiran 10 sehingga 20 orang ahli dalam satu-satu masa dan memainkan lagu-lagu 'malar hijau', moden dan terkini yang terdiri dari pelbagai genre sesuai dengan citarasa para pendengar. Ahli-ahli kelab menjalani latihan dua kali seminggu iaitu pada setiap hari Khamis dan Sabtu. Tetapi sekiranya mendapat jemputan persembahan di luar sekolah ahli-ahli kelab akan membuat latihan selama tiga hari berturut-turut untuk memantapkan persembahan. Ahli-ahli kelab yang baru diberi latihan intensif setiap hari agar dapat bermain dengan baik bersama-sama ahli-ahli senior.

Kelab ini mempunyai seramai lebih dari 300 orang sejak ditubuhkan dan sekarang mempunyai 50 orang ahli yang aktif tahun 2019. Mereka terdiri daripada para pelajar tingkatan satu sehingga tingkatan lima di bawah pimpinan dua orang guru penasihat kelab. Antara guru-guru yang pernah dan masih terlibat dalam aktiviti kelab ini semenjak ia ditubuhkan sehingga tahun 2019 ialah Puan Elsa Majmiza Binti Murad Khan, Puan Malisa Binti Mohd Mohayudin, Puan Azwani Binti Sibiramalek, Puan Hafiza Binti Ahmad dan Puan Siti Raxkina Binti Kulop Ahmad.

Aktiviti dan kegiatan kelab telah mendapat liputan pelbagai media massa seperti akhbar Sinar Harian dan Berita Harian, Utusan Malaysia, Melaka Hari Ini, majalahdara.com, Harian Metro serta YEZZ keluaran Karangkraf. Kelab ini juga telah menyertai beberapa pertandingan antaranya Mimpi ke Bintang, Muzik Ekstra dan Pertandingan Bakat anjuran Kraftangan sempena sambutan Hari Kraftangan Kebangsaan 2013. 

Kelab ini telah membuat persembahan di peringkat antarabangsa iaitu di Malaysia International Children Choral Festival 2017 yang bertempat di UiTM Shah Alam dan juga di ASEAN School Games 2018 juga bertempat di UiTM Shah Alam. Kelab ini juga, telah mendapat liputan TV1 dalam slot Selamat Pagi Malaysia, Generasi Y, Tiada Lama Tiada Baru di TV2, rancangan Assalamualaikum TV Al-HIjrah, Banana Squad di TV3, NTV7 dan TV9, Nasi Lemak Kopi O di TV9 dan di TV3 dalam slot Malaysia Hari Ini dan Borak Kopitiam. 

Kelab ini juga telah mengadakan persembahan dipelbagai tempat dan acara antaranya Perasmian Pertandingan Burung Antarabangsa di Bukit Fraser dan Perasmian 1MCAT di KLCC anjuran Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan Malaysia, sambutan Bulan Ramadhan dan Hari Raya , persembahan Promosi anjuran Kraftangan Malaysia, Majlis Makan Malam, Program Merakyatkan Seni Budaya Bersama Rakyat (PMS), Majlis Sambutan Harijadi, Persembahan di Karnival Music Youth di Curve, Damansara, Majlis Perkahwinan, Majlis Sambutan Tahun Baru Cina, persembahan Bazar Seni Industri Badan Bukan Kerajaaan JKKN, Perasmian Pertandingan Apresiasi Seni Visual, Majlis Pendaftaran Pelajar Baru FSTEP, persembahan Pameran Inspirasi Alam, Kraftangan Kuala Lumpur, Majlis Anugerah Cemerlang Politeknik, KL Family Fair 2013 MaTiC, Keretapi Sarong 2019 dan sebagainya.

Paling menarik kelab ini telah dijemput oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pada 29 September 2016 untuk mengiringi keberangkatan masuk dan pulang dalam satu Majlis Menjunjung Kasih Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah Binti Haji Hamidun yang diadakan di Hotel Berjaya Time Square, Kuala Lumpur.

Kelab Angklung Wariseni menjalankan Program Jelajah Angklung 1Malaysia pada tahun 2016 dan pada tahun 2017. Kelab ini telah menghasilkan 1 mini album (CD dan VCD) yang memuatkan 14 buah lagu-lagu antarabangsa dan tradisional. Hasil jualan CD dan VCD ini telah digunakan dalam Program Pengantarabangsaan yang diberi nama Pelestarian Tradisi” di Bandung pada 14 – 17 Oktober 2017.

Kelab Angklung Wariseni ini telah mendapat jemputan rasmi dan  membuat persembahan di hadapan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah, Sultan Perak Darul Ridzuan pada bulan 20 Julai 2018 dalam Majlis Anugerah Srikandi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) di Hotel Istana, Kuala Lumpur juga mengiringi keberangkatan tiba Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dalam majlis Perasmiaan AEON Shah Alam. Pada 9 Mac 2019 yang lalu  kelab angklung ini telah membuat persembahan di hadapan Duli Yang Maha Mulia Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin sempena perasmian mesyuarat Agung Pandu Puteri Malaysia yang berlangsung di Rumah  Pandu Puteri, Bukit Gasing Petaling Jaya.


Kelab ini juga pernah menjuarai pertandingan yang dianjurkan oleh MSU iaitu Performance Art Competition pada tahun 2014 dan mendapat tempat ketiga pada tahun 2016. Pada tahun 2015 kelab ini telah menyertai Pertandingan Lagu Angklung SEAMEO yang berpusat di Thailand. Pertandingan ini disertai lebih daripada 150 buah sekolah di Asia Tenggara dan mendapat tontonan umum yang tertinggi di dalam laman sesawang YouTube. Kelab ini juga sedang menjalankankan satu Bengkel Angklung yang dinamakan “Sanggar Angklung untuk semua sekolah dalam Negeri Selangor dan menggunakan modul Mari Bermain Angklung : Lagu Kanak-kanak. Di samping itu, Kelab Angklung Wariseni juga sedang merangka satu lagi program pengantarabangsaan pada bulan September 2019 dan kisah kelab ini juga akan dicatatkan di dalam buku teks Bahasa Melayu Tingkatan Peralihan yang akan diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka tidak lama lagi.

Aktiviti-aktiviti yang dirancang dan dijalankan dipaparkan di laman sesawang 
Facebook : Kelab Angklung Wariseni/Angklung14 
Blogspot   K.A.W Team
Youtube    : Kelab Angklung Sri Muda
WIX           : wix




No comments:

Post a Comment