Bersarapan pagi di Hotel Bandung secara bufet. Walaupun hotel bajet sahaja namun makanan yang dihidangkan tidak kurang enaknya. Bergambar di hadapan hotel sebelum memulakan aktiviti hari ini. Jam 9.00 pagi para peserta sudah bersedia di dalam bas untuk menuju ke Cibaduyut.
Cibaduyut terletak disebelah selatan kota Bandung sangat terkenal sebagai syurga belanja. Kasut dan pakaian kulit yang dihasikan di sini memiliki kualiti yang tidak kalah dengan jenama terkenal seperti Nike, Adidas dan lain-lain jenama. Harganya pun sangat murah kerana dibeli terus daripada pembuatnya. Semasa memasuki daerah Cibaduyut, sebuah tugu yang berbentuk sepatu dapat dilihat dan ia merupakan ikon khas Cibaduyut. Keberadaan tugu tersebut menegaskan kepada setiap pengunjung bahwa Cibaduyut merupakan pusat industri sepatu terbesar di Indonesia.
Jam 12.00 tengahari aktiviti membeli-belah di sini ditamatkan oleh kerana aktiviti seterusnya di Saung Udjo Angklung pada jam 2.00 petang. Aktiviti berbengkel dijangkakan akan berlangsung dan kelewatan perlu dielakkan agar perjalanan aktiviti berjalan lancar. Ini adalah kerana kesesakan luar biasa setiap hari di bandar Bandung ini. Maka perlu bijak untuk merancang masa. Laluan ke Saung Udjo Angklung sungguh kecil dan para peserta kagum serta panik melihat perjalanan bas yang besar boleh dilakukan tanpa sebarang masalah.
Setibanya di sana para peserta terus dibawa ke bengkel untuk mengikuti woksyop membuat angklung. Kumpulan ini telah ditunjukkan dengan jelas tentang pembuatan angklung dari pembentukan nada sehinggalah mengikat angklung. Mereka juga telah dimaklumkan tentang sejarah permainan angklung ini di Indonesia. Anak-anak angklung dari Kelab Angklung Wariseni SMK Taman Sri Muda telah diberi kesempatan untuk bermain angklung bersama-sama dengan Pak Sam anak Pengasas Saung Udjo ini iaitu Udjo Ngalagena juga dikenal sebagai Mang Udjo.
Pak Sam dan Bapak Udjo
Di akhir aktiviti anak-anak angklung Wariseni SMK Taman Sri Muda diberi peluang membuat persembahan secara langsung bersama-sama Pak Sam yang akan memainkan kulintang. Dua buah lagu dipersembahan iaitu Yek Liang Tai Piau Wo De Xin dan Poco Poco.
Sejurus kemudian para peserta di bawa ke pentas persembahan pula untuk melihat persembahan daripada anak-anak angklung Saung Udjo Angklung yang terdiri daripada pelabagai peringkat umur. Di akhir persembahan mereka telah menjemput para pengunjung untuk sama-sama membuat persembahan di tengah-tengah arena.
Aktiviti seterusnya merupakan “Nite Walk” di pusat bandar Bandung. Destinasi pertama kami Zero Kilometer Bandung. Awal bermulanya kota Bandung di sini. Monumen setinggi lebih kurang satu meter, banyak menyimpan sejarah panjang perkembangan kota Bandung, kerana titik 0 ini dianggap sebagai titik sentral pembangunan Bandung.
Para peserta juga berpeluang melihat Linotype iaitu mesin taip yang digunakan pada zaman pemerintahan Belanda. Mesin taip ini digunakan untuk mencetak suratkhabar selama 350 tahun. Mesin ini dipatenkan oleh Ottmar Mergenthaler di Amerika Syarikat pada tahun 1884. Mesin ini telah hilang di tahun 1970an tetapi masih ada di Bandung. Sehingga sekarang terdapat tiga buah sahaja mesin taip ini dan salah satunya terdapat di sini.
Meneruskan lagi perjalanan di jalanan kota Bandung, pengamen-pengamen dengan pelbagai aksi dan gaya untuk mencari sesuap nasi. Bertemu pula dengan seorang bapak yang bernama Pak Yadi K’rung yang dikatakan telah berbasikal sehingga ke Melaka. Berpakaian seragam tentera dan masih gagah orangnya. Beliau menceritakan pelbagai pengalaman beliau kepada semua. Malangnya masa sangat mencemburui aktiviti ini dan para peserta terpaksa meneruskan kembara walaupun cerita bapak ini masih banyak lagi.
Gedung Merdeka di Jalan Asia-Afrika, Bandung, Indonesia, adalah gedung bersejarah yang pernah digunakan sebagai tempat Konferensi Tingkat Tinggi Asia-Afrika tahun 1955. Kini gedung ini digunakan sebagai museum yang mempamerkan berbagai koleksi dan foto Konferensi Asia-Afrika yang merupakan cikal bakal Gerakan Non-Blok pertama yang pernah digelar disini tahun 1955. Kembara diteruskan lagi melalui Museum Konferensi Asia Afrika yang merupakan satu museum yang berada di kota Bandung. Bangunan ini terletak di Jalan Asia Afrika No. 65. Museum ini merupakan memorabilia Konferensi Asia Afrika dan mempunyai hubungan yang sangat erat dengan Gedung Merdeka.
Masjid Raya Bandung Bandung penghujung “Nite Walk” untuk hari ini. Masjid Raya Bandung dahulu dikenali dengan nama Masjid Agung Bandung adalah masjid yang berada di Kota Bandung, Jawa Barat, Indonesia. Status masjid ini adalah sebagai masjid provinsi bagi Jawa Barat. Masjid ini merupakan masjid yang pertama dibangunkan pada tahun 1810, dan sejak didirikannya, Masjid Agung telah mengalami lapan kali perubahan pada abad ke-19, kemudian lima kali pada abad 20 sampai akhirnya diubahsuai lagi pada tahun 2001 sehingga perasmian Masjid Raya Bandung pada 4 Jun 2003 yang dirasmikan oleh Gabernor Jabar iaitu, H.R. Nuriana. Masjid baru ini, yang bercorak Arab, menggantikan Masjid Agung yang lama, yang bercorak khas Sunda. Masjid Raya Bandung, mempunyai dua menara kembar di sisi kiri dan kanan masjid setinggi 81 meter yang selalu dibuka untuk umum setiap hari Sabtu dan Minggu. Atap masjid diganti dari atap joglo menjadi satu kubah besar pada atap tengah dan yang lebih kecil pada atap kiri-kanan masjid serta dinding masjid terbuat dari batu alam berkualiti tinggi.
No comments:
Post a Comment