Saturday, 14 October 2017

Bandung - Kembara Hari Pertama

Para peserta telah bertolak ke lapangan terbang KLIA1 dengan menaiki bas yang telah disewa khas untuk program ini pada jam 4.00 pagi dan tiba di KLIA1 pada jam 5.00 pagi. Pada jam 5.30 pagi kesemua peserta terus mendaftar masuk secara berkumpulan. Sebelum berlepas kesemua ahli rombongan mengambil kesempatan merakamkan detik bersejarah perjalanan program ke Bandung, Indonesia.


Rombongan tiba ke destinasi seperti yang dijadualkan. Di Lapangan terbang Antarabangsa Husein Sasteranegara, rombongan telah disambut dengan mesra oleh  Encik Taufik Teguh daripada Teguh Jaya Wisata. Beliau menjadi pemandu pelancong sepanjang aktiviti berlangsung di sini.


Para peserta terus dibawa menikmati makanan Padang untuk makan tengahari. Setelah selesai menikmati juadah tengahari, para peserta diberi kesempatan untuk membeli-belah di kedai-kedai yang disarankan oleh pemandu pelancong.

 

Sesudah itu, para peserta dibawa ke pusat bandar untuk melawat Muzium Geologi Bandung dan Gedung Sate yang merupakan pusat pentadbiran kerajaan Indonesia di Bandung.

 


Lawatan diteruskan dengan sembahyang berjemaah di Masjid Transtudio. Masjid ini disumbangkan oleh kerajaan Arab dan dihiasi dengan kepingan emas di bahagian dalamnya. Selesai menunaikan kewajipan kesemua peserta dibawa melawat ke Transtudio Mall iaitu sebuah pasaraya yang terbesar di Bandung dan dilengkapi dengan pelbagai gedung dan hiburan untuk semua golongan. 

 

Destinasi terakhir pada hari ini ialah di Cihampelas Walk dan ChiWalk. Ia merupakan syurga untuk para pelancong yang suka membeli-belah sama ada di dalam mall atau di gerai-gerai yang terletak di tepi-tepi jalan yang menawarkan pelbagai barangan dengan harga yang berpatutan. Keunikan tempat ini ialah terdapat ‘skywalk’ yang menghubungkan dari satu mall ke satu mall yang lain. Para pengunjung tidak perlu keluar dari bangunan untuk ke mall seterusnya. 


Makan malam hari ini para peserta dijamu dengan hidangan yang istimewa di sebuah restoran dan kemudian menuju ke Bandung Hotel untuk merehatkan diri dan bersedia dengan aktiviti esok.

No comments:

Post a Comment