Saturday, 27 April 2024

MAPEX 2024 - Pavillion Bukit Jalil

Pertama kali kami membuat persembahan di sini. Berbekalkan 13 orang ahli sahaja hari ini dan aku seorang mengemudi kapal hari ini. Dibantu oleh Pak Nordin membawa van ke sana. Alhamdulillah perjalanan kami selamat sampai di sana jam 10.30 pagi. Setelah selesai urusan parking kereta maka kami melihat tempat persembahan dan membuat persediaan. Selesai mendengar taklimat dari Uncle Sam anak-anak KAW Team kulepaskan untuk melihat-lihat sekeliling mall dan berjanji pada jam 12.00 tengahari berada di tempat persembahan semula.

Dua sesi persembahan kami kali ini yang mengambil masa 15 minit untuk dihabiskan. Cantuman lagu-lagu Hari Raya dan beberapa lagu cina dan antarabangsa kami selitkan dalam medley tersebut. Silalah dengar di Youtube kami.


Kami pulang jam 3.00 petang dari mall dan sampai disekolah dengan selamat. Beberapa peringatan kuberikan kepada anak-anak KAW Team tentang persembahan tadi untuk dikemaskan lagi dan bersedia untuk event pada 2 Mei dan 3 Mei nanti. Abu Qusyairi, Umairah, Joannane, Farhanis dan Charonnica kuhantar pulang ke rumah hari ini.


Wednesday, 24 April 2024

Bengkel Solekan Pelapis 2024

Sebelum Cikgu Elsa mengambil alih kelas hari ini, aku sempat meyambung kelas teori angklung kepada naak-anak angklung yang baharu dan lama. Malangnya ahli-ahli tingkatan 1 lelaki tidak hadir. Bengkel berjalan dengan lancar dan anak-anak KAW Team dapat bersolek dengan baik.


 

 


 

 



Tuesday, 23 April 2024

Pelancaran Bulan Bahasa

Hari ini anak-anak KAW Team akan menunjukkan bakat mereka di hadapan kawan-kawan mereka dengan mempersembahkan lagu Bidi Bahasa Budaya Kita dengan dibantu oleh 6 orang senior iaitu Amar, Azrul, Abu Qusyairi, Anndryson, Shafiejan dan Alisha. Alhamdulillah, boleh tahan juga persembahan mereka. Maklum baharu seminggu berlatih...syabas kalian semua.





Friday, 19 April 2024

SHARP : Gegaran Gaya Raya

Bertugas di sini hari ini dengan tema SHARP : Gegaran Gaya Raya. Kami berbaju mustard hari ini yang baharu di beli di TikTok dan Shoppee. Just nice sampai. Anak-anak KAW Team seramai 17 orang kubawa hari ini dan 3 orang guru termasuk aku. Persembahan sepatutnya dimulakan pada jam 5.20 petang tetapi apabila kami sampai pada jam 4.00 petang mesyuarat masih belum selesai. Maka kami lepak di tepi dewan dahulu. 


Sempat juga kami mengambil 36 cucuk sate untuk diberikan kepada anak-anak angklung sebagai alas perut. Setelah menunggu selama 3 jam baharulah kami dapat mengayunkan angklung kami selama 20 minit. 2 lagu medley disediakan dan setiap satunya mempunyai masa 9-10 minit yang mengandungi pelbagai lagu Hari Raya dan diselitkan beberapa lagu pelbagai bahasa. Berpeluh-peluh Shafiejan nak menghabiskan kedua-dua medley tersebut. Secara keseluruhannya permainan angklulng mereka adalah baik.  


Jam 7.30 malam kami beransur pulang dan dapat membawa bekalan laksa dan air avocado. Setelah siap menyalin pakaian beberapa orang anak-anak angklung kubawa pulang ke rumah mereka masing-masing. HP Alisha dan Charonnica pula tertinggal dalam van Cikgu CT. Nasib baik Alisha masih menyimpan nombor telefon mamanya. Dapatlah dia menghubungi mereka. Terima kasih semua. Jangan lupa minggu depan kita adalah show di Bukit Jalil!


Serahan Duit Raya

Selesai anak-anak angklung bersiap-siap maka kami serahkan duit raya pada mereka semua. Buat suka-suka sahaja. Sambutan raya kami cadang hendak buat pada 1 Mei nanti...entahlah....2 Mei kami ada jemputan pula macam tak sempat sahaja.







Friday, 5 April 2024

MV Raya : Ketipak Ketipung Raya

MV tahun ini semuanya dikendalikan oleh anak-anak KAW Team dan dibantu oleh super duper senior Muhammad Saiful Azim Abdull Azis.Teruja aku menonton MV mereka sesudah diedit. Terbaik dari titik peluh dan idea mereka. Tahniah dan syabas kepada semua, walaupun lagu yang digunakan bukan hak cipta kami.











Thursday, 4 April 2024

Mesyuarat Agong : Sesi Pagi & Petang

Mesyuarat agong sesi pagi dijalankan di PSS SMK Taman Sri Muda. Hanya ada seorang sahaja ahli baharu dalam tingkatan 3 iaitu Syasa. Mesyuarat dikendalikan oleh Levialin dan aku hanya sebagai pemerhati sahaja. Cikgu CT Raxkina mencadangkan mereka membuat MV tentang sambutan Hari Raya dan mereka semua bersetuju untuk membuatnya. Aku meminta mereka untuk melibatkan agli-ahli tingkatan 2 sekali.

Mesyuarat di sesi petang pula ahli-ahli senior dari tingkatan 2 sehingga 5 mengendalikannya. Cikgu Izzakir hanya menjadi pemerhati sementara aku dan cikgu Fatihah menguruskan mesyuarat Kelab Seni Kebudayaan. Alhamdulillah mereka dapat mengendalikan aktiviti dengan lancar tanpa bantuan guru. Syabas, sudah menunjukkan bakat sebagai pemimpin.



AJK Sesi Petang 2024/2025

AJK Sesi Pagi 2024/2025


Tuesday, 2 April 2024

Pertemuan Uncle Sam dengan Pelapis 2024

Sebelum memulakan pengajaran teori kehadiran anak-anak angklung kucatatkan dalam borang yang siap dicetak. Kemudian aku memulakan pengajaran teori angklung dan baharu sahaja sampai kepada misi dan visi kelab Uncle Sam pun sampai. Terus kuserahkan kelas kepada Uncle Sam untuk melanjutkan pengajaran angklung hari ini.

Semasa kelas dijalankan aku meminta Amar mengambil beberapa keping gambar untuk dokumentasi nanti sambil aku melengkapkan tugasan lain sewaktu Uncle Sam mengambil alih. Pengenalan kepada angklung, nombor anglung, rumah angklung, disiplin dan banyak lagi info disampaikan oleh Uncle Sam kepada pelapis 2024.

Kelas berakhir jam 12.00 tengahari dan dihujung kelas Uncle Sam mencuba skor lagu kanak-kanak yang akan diajarkan di sekolah tadika nanti. Alhamdulillah, anak-anak ini dapat memainkannya dengan baik sekali.