Friday, 27 March 2020

Kemelut K.A W Team

           Tahun 2020, usia kelab ini telah pun mencapai 9 tahun mengharungi liku-liku seni di persada negara. Bersama-sama dengan ahlinya yang silih berganti saban tahun pelbagai dugaan dan rintangan yang dihadapi bagi mengecapi kejayaan yang telah diraih sekarang. Di awal penubuhan kami mengalami kemelut kewangan untuk menubuhkan kelab. Mencari modal untuk membeli alatan asas utama kami iaitu angklung. Setelah dapat meraih simpati beserta bantuan mantan Pengetua Puan Megawati Binti Hasbullah maka kami dapat membeli satu set rumah angklung menggunakan dana PIBG sekolah sebanyak RM2800/=. Kami mendapat pakej 6 jam percuma belajar bermain angklung dan selepas itu kami dalam kemelut semula. Apa akan jadi setelah selesai 6 jam? Adakah kami sudah pandai memainkan angklung selepas 6 jam tersebut? Soalan demi soalan menerjah kepala namun diteruskan juga aktiviti kelab. Kelas pertama kelab telah diuruskan oleh Puan Malisa oleh kerana aku terpaksa menghadiri majlis keluarga. Kutinggalkan pesan kepada Puan Malisa untuk mengambio gambar dan merakamkan aktiviti yang berlaku pada hari tersebut Alhamdulillah semuanya berjalan lancar di bawah kelolaan Encik Sam Mat Kous, pengurus Wariseni Budaya yang bertapak di Laman Seni Budaya, Persiaran Tasik Shah Alam.

            Perintis kelab merupakan satu pasukan yang sangat mantap. Arham, Amnan, Azizah, Hanim, Hakim, Yaswan, Aida, Aina, Arif, Amira, Yasmin dan ramai lagi yang tak dapat disenaraikan di sini telah banyak berjasa kepada kelab, Tidak jemu-jemu datang berlatih walaupun cuti sekolah dan sentiasa kena marah. Walaupun begitu, mereka masih tegar, tidak pernah lewat menghadiri latihan harian dan sentiasa menyertai aktiviti luar kelab. Namun masalah tidak lari daripada kelab kami. Paling utama dari segi kewangan. Tiada bantuan yang kami dapat untuk mengembangkan sayap kami dan hanya bergantung kepada token yang diberikan setelah menyertai atau dipanggil untuk persembahan luar. Berbekalkan token yang sedikit ini pula terpaksa diagihkan untuk pengangkutan, pakaian, makan dan minum ahli yang terlibat, penyelenggaraan alat, pembelian alat, mengupah jurulatih tarian, juru solek, membeli alat solekan, membeli aksesori pakaian, membeli fail, membeli LCD, membeli speaker dan pelbagai lagi kelengkapan untuk kemudahan anak-anak angklung.
    
           Tempat latihan kami pula tidak menentu, sesakali di dewan bila ditegur bising dan menganggu PdPc beralilhlah kami ke padang. Hujan.....larilah kami pula ke blok di antara bengkel KH dan Seni. Menganggu juga PdPc. Akhirnya kami diberikan kebenaran untuk menggunakan Rumah Hijau sebagai tempat latihan. Bertungkus-lumuslah kami mencerikan kawasan tersebut. Nyamuk pun lari apabila mendengar alunan angklung kami...klung, klung...klung. Tapi masih bermasalah oleh kerana ia merupakan kawasan yang terbuka, apabila hujan kami ditimpa tempias dan apabila hujan turun dengan lebatnya bocor pula sana sini dan kami terpaksa berhenti dan menyelamatkan alatan daripada kebasahan. Kami menerima komplen daripada kedai-kedai di belakang. Kata mereka bunyi angklung kami bising dan mantan pengetua kami Tuan Haji Aznan pernah menerima surat daripada pekedai di belakang menyatakan ketidak puasan hati mereka. So, nak ke mana kami sekarang. Kami pekakkan telinga dan butakan hati, meneruskan latihan seperti biasa di tempat tersebut. Panas....nasib baik tuan haji pasangkan 2 buah kipas kuranglah kepanasan tersebut.

            Kadang-kadang menghadapi masalah juga dengan ibu bapa yang kurang memahami aktiviti kelab. Pertama-tama sekali mengenai kewangan. Kelab ini bukanlah sebuah badan yang mencari keuntungan tetapi kami mencari pengalaman dan pengetahuan. Kami tidak meletakkan harga yang mahal dalam persembahan cukup sekadar menampung perbelanjaan dan pembelian yang kami perlukan. Bukan kadang-kadang....selalu guru penasihat menggunakan duit poket sendiri untuk memastikan aktiviti kelab berjalan lancar. Ibu bapa ada yang menagih wang untuk anak mereka yang terlibat. Adakah mereka pernah bertanya kepada guru kos-kos tersembunyi yang terpaksa ditanggung oleh guru penasihat ? Anak-anak mereka belajar secara percuma dengan alatan yang disediakan. Apabila alatan rosak mereka tidak dikenakan apa-apa bayaran dan semuanya di bawah tanggungan guru penasihat untuk menghantar dan membayar kos baik pulih. Bukan dekat tempatnya, di Skudai Johor kepada Encik Tumian Muridan, 'The Last Angklung Maker in Malaysia'. Kadang-kadang untuk menjimatkan belanja guru menggunakan khidmat pos untuk menghantar angklung yang rosak. Itu baharu angklung, alatan lain seperti speaker, cd player, conga, gitar, lcd ......

                  Komitmen anak-anak angklung juga sangat penting. Pada awal penubuhan kelab kesmeua perintis begitu tekun menjalani latihan hari demi hari hari walaupun tujuan kelab masih tidak terbayang lagi. Malahan pernah terjadi guru penasihat lari daripada anak murid apabila bertembung kerana anak murid akan bertanya bilakah aktiviti kelab akan bermula. Pada masa tersebut kertas kerja baharu sahaja dihantar kepada pengetua dan kami perlu akur kekangan kewangan melambatkan pergerakkan aktiviti kelab. Apabila mendapat persembahan luar buat pertama kalinya di Tokong Cina sempena sambutan Tahun Baharu Cina, ahli-ahli angklung amat gembira walaupun lagu yang kami mainkan hanyalah lagu kanak-kanak sahaja menggunakan kompang dan angklung sahaja. Komitmen  begini tidak dapat lagi aku temui pada anak-anak angklung seterusnya. Ada yang hanya menyertai kelab kerana inginkan glamer dan dapat keluar bertemu pelbagai jenis manusia dari pelbagai peringkat. Tetapi apabila menjalani latihan mereka sering ponteng dengan pelbagai alasan. Mana mungkin boleh membuat persembahan dengan baik tanpa latihan? Ahli-ahli kelab yang dan empat lima tahun pun masih membuat latihan inikan pula baharu tingkatan 1.

                  Ibu bapa juga ada yang lebih memandang kepada akademik oleh kerana takut anak-anak mereka akan keciciran dalam akademik akibat sering menjalani latihan. Oleh yang demikian anak-anak yang betul-betul berminat dan berbakat ditarik keluar oleh mereka. Sekiranya mereka faham, bidang kokurikulum juga sangat penting. Ibu bapa boleh membantu anak-anak mereka dengan menyusun jadual anak-anak mereka dan tidak mengekang minat anak-anak. Selain itu, kami juga telah menyediakan bilik khas untuk anak-anak angklung setelah menjalani latihan mereka boleh menyiapkan kerja rumah atau study bersama-sama kawan sekelab di bilik tersebut. Tidak perlulah mereka berulang-alik dari rumah ke sekolah dan dari sekolah ke rumah setelah menjalani latihan. Secara tidak langsung kami boleh memerhatikan anak-anak mereka di waktu pagi kerana mereka akan bersama-sama kami disepanjang latihan. Maka akan terkawallah disiplin anak-anakk mereka ini.
Tetapi ada juga yang mengambil kesempatan dengan menggunakan nama kelab untuk membuat aktiviti yang salah. Memberitahu ibu bapa mereka keluar untuk aktiviti kelab tetapi sebenarnya berkeliaran bersama-sama kawan-kawan yang lain di kawasan perumahan. Perkara sebeginilah yang menjatuhkan nama kelab.

                   Aku juga mengalami masalah pewaris saka aku ini. Setakat ini hanya aku seorang sahaja yang menggendalikan aktiviti dan mengajar ahli-ahli kelab angklung ini. Guru-guru yang lain hanya menjadi pembantu dan pengiring sahaja apabila ada persembahan di luar. Tak silap aku guru pendamping yang pertama adalah Puan Malisa. Masa tu, dia tengah jauh hati dengan unit sukan, maka dia bersama-sama aku. Selepas itu bertukar pula kepada Puan Hafiza, Puan Syazwani, Puan Elsa dan yang terakhir sekali Puan Siti Raxkina. Terfikir di benakku, sekiranya aku berundur dari bidang ini dan bersara, apakah yang berlaku kepada kelab yang sudah utuh berdiri dipersada negara. Generasi inilah yang tinggal untuk mewarisinya. Sudah diutarakan masalah ini kepada para pentadbir sekolah namun sehingga sekarang masih belum mendapat jawapan. Memang benar, pewaris saka ini mesti cekal dan berani seperti aku untuk meneruskan kelab ini. Perlu mempelajari semua dengan sendiri dan tidak mengharapkan bantuan orang lain. Berani menghadapi cabaran dalam mengharungi liku-liku di hadapan yang sunguh mencabar mental dan fizikal guru. Bersedia untuk berbelanja dengan menggunakan duit poket sendiri dan sebagainya. Moga satu hari sebelum aku berundur akan ada seorang guru yang berjaya mewarisinya. Insyallah.....guru yang mahir dalam muzik adalah lebih bagus.

                    Seterusnya, masalah yang sering dihadapi oleh kelab ini juga melibatkan guru juga. Oleh kerana aku seorang sahaja yang boleh mengendalikan latihan maka waktu latihan kadang kala perlu mengambil waktu PdPc. Isu inilah yang tidak habis-habis diperkatakan setiap tahun. Pada yang sering komplen....tolonglah berikan satu solution bagaimana aku boleh menyelesaikan masalah ini. Bukan sekadar komplen kepada pentadbir dan merungut-rungut di whatsapp. Sekolah mempunyai dua sesi, pagi dan petang. Sesi petang tidak akan mengalami masalah oleh  kerana waktu pagi anak-anak angklung boleh hadir dan menjalani latihan. Sesi pagi .....memerlukan bantuan guru untuk memerhati dan mengendalikan aktiviti mereka. Aku perlu berada di sana untuk memerhati dan membetulkan kesilapan mereka dan pada waktu yang sama aku juga perlu mengajar. Oleh yang demikian aku terpaksa membahagikan waktu mengajarku kepada dua. Mengajar sambil mendengar latihan yang dilakukan oleh ahli-ahli. Aapabila ada persembahan, masalah usikan PdPc akan berlaku apabila ahli sesi petang perlu menghadiri latihan bersama-sama senior mereka. Aku tak boleh usik senior pagi untuk datang latihan  di sesi pagi. Memang pantang keturunan guru sesi pagi usik anak murid mereka yang akan menjalani peperiksaan penting seperti PT3 dan SPM terutamanya.

                  Kelab ini juga tidak dapat lari daripada perasaan hasad dengki manusia. Ramai orang memegang PhD. Membantu tidak malahan mengadu domba tentang kelab, tentang guru, tentang ahli, tentang kewangan dan sebagainya. Peliknya, pentadbir pun boleh termakan dengan adu-domba ini dan tanpa usul periksa terus mengambil tindakan. Gunting dalam lipatan pun amat bahaya. Ini memang banyak. Amat sukar untuk mengenalpasti mereka ini. Tahu-tahu nama dipanggil oleh pentadbir dan dikenakan pelbagai syarat dan tindakan. Sehingga yang tidak ada kaitan pun ingin mengambil tahu tentang kedudukan kewangan kelab. Baharu minta bantuan sikit dan tanya akaun kelab. Apa....? Kamu nak bantu kami stabilkan akaun kami ke? Taklah juga....Sebab itu aku malas minta bantuan pada orang. Apa-apa pun pada sesiapa yang pertikaikan kelab ini, marilah duduk dan berdiri dalam posisi aku sekarang. Bagaimana korang nak menguruskan semua ini . Ya....pasti yang ada berkata kau yang cari masalah! Mengapa nak buat semua itu? Betul.....no pain no gain brothers and sisters.  Jika kita tidak buat siapa lagi yang mahu diharapkan? Korang semua yang pandai mengata tu ke? Adakah tugas guru mengajar sahaja di dalam kelas? Tepuk dada tanya selera la guys and gals....
                       
                        Banyak lagi permasalahan yang berlaku di dalam kelab ini. Namun semuaku buang ke dalam laut jauh-jauh sebagaimana orang membuang saka mereka. Aku akan meneruskan perjuanganku. Terima kasih kepada anak-anak angklung yang setia dan sentiasa berdiri di belakangku dalam mengharungi kemelut ini. Sebenarnya aku boleh berbangga dengan pencapaian kelab ini sejak ditubuhkan. Pelbagai rintangan dan halangan berjaya ditempuhi dan akhirnya kami berjaya. Orang ramai mula mengiktiraf kami di persada seni. Kami telah membuat pelbagai persembahan di hadapan pelbagai golongan manusia daripada rakyat biasa hinggalah ke peringkat yang lebih tinggi. Terpahatnya nama kelab ini di dalam buku teks Bahasa Melayu Tingkatan Peralihan yang memulakan detik sejarah kelab di SMK Taman Sri Muda. Gahnya nama sekolah dikenali satu Malaysia dan akan diguna pakai puluhan tahun mendatang. SMKTSM HEBAT!!!
                      

No comments:

Post a Comment