Thursday, 28 December 2017

Majlis Orientasi Tingkatan 1 dan Peralihan 2018

28 Disember 2017 merupakan penutup tirai aktiviti kelab pada tahun ini. Menyambut kedatangan adik-adik sambil mempromosi kelab kepada ibu bapa yang hadir membawa anak masing-masing ke sekolah. Seramai 19 orang ahli kelab dari tingkatan 1 sehingga tingkatan 4 melibatkan diri dalam persembahan santai hari ini. Terima kasih kepada semua kerana memberikan kerjasama dan memainkan angklung dengan begitu baik hari ini. tahniah dan syabas. Sempena aktiviti penutup ini cikgu akan mula menggira markah kumpulan dan hadiah akan disampaikan pada perhimpunan rasmi minggu pertama persekolahan 2018 nanti. Tunggu ya!





Sunday, 17 December 2017

FRF & MASB 20th Years Annivesary

Ke Kuala Lumpur hari ini menghala ke PNB Perdana Suite di Jalan Binjai. Pak Haji Ismail membawa kami hari ini. Alhamdulillah perjalanan ke sana mengambil masa 30 minit dan kami tidak menghadapi sebarang masalah. Terus sahaja menurunkan barang-barang di lobi hotel dan mengarahkan anak-anak angklung ke tingkat 4. Uncle Sam sudah menanti mereka di lobi. Sementara itu aku memakirkan kereta. Uncle Sam terus membuat rehearsal mengiringi VIP dan seterusnya kepada persembahan.

 

Majlis ulangtahun yang ke 20 FRF dan MASB. Apa makna singkatan tu? Entahlah ..... yang diberitahu semua yang ada dalam tu akauntan, kaki kira-kira.....walawey!


Jam 8.45 malam majlis bermula dengan mengiringi VIP ke dalam dewan. Kemudian diteruskan dengan persembahan satu lagu. Selepas ucapan kami hanya memainkan dua buah lagu sahaja dan kemudian majlis diteruskan dengan memotong kek. Semua aturcara hari ini dipendekkan oleh kerana big bos mereka kena bertolak balik awal di sebabkan oleh hal yang tertentu.



 


Jam 9.30 malam majlis berakhir tetapi kami terpaksa menunggu sehingga semua VIP dan tetamu beredar baharulah kami boleh bergerak keluar dari dewan. Sementara menunggu kami makan kek dahulu.  Akhirnya jam 10.30 malam kami ulang ke Shah Alam. Persembahan yang singkat hari ini tetapi tetap lewat pulang seperti biasa. Inilah dunia seni......asam garamnya.

Saturday, 16 December 2017

Muzium Kapalselam.....Lagi!

Bertolak ke Melaka bersama-sama van Pak Agos tetapi pemandunya Pak Haji Ismail....bukan Pak Agos. Perjalanan mengambil masa dua setengah jam. Tersangkut sepuluh kimit menghala ke Klebang Besar sebab ada larian marathon. Ingat aku dah nak pusing balik ke jalan yang lain. Alhamdulillah....tergendala sepuluh minit sahaja. Sampai sahaja di Muzium Kapalselam terus menghubungi Uncle Sam dan mengarahkan kami masuk ke dalam muzium untuk membuat persiapan. Kemudian kami bersarapan.


Jam 11.00 pagi kami memulakan persembahan dengan lagu Selamat Datang dan disulami dengan pelbagai lagu rentak dan irama memenuhi cita rasa para pengunjung muzium. Persembahan kami hari ini telah dirakam oleh pihak PERZIM dan diuploadkan ke dalam Youtube di bawah nama MELAKA.


Jam 1.00 petang kami berehat sehingga 230 dan memulakan persembahan semula pada jam 3.00 petang. Sementara menanti persembahan bermula, anak-anak angklung melawat kapalselam. Kali pertama untuk Veronica, Aslinda dan Doreen. 

 

Kami menutup tirai persembahan hari ini pada jam 5.00 petang. Berkemas dan kemudian bertolak pulang ke Shah Alam. 

 

Singgah di R n R Ayer Keroh membasahkan tekak dengan tek tarik dan set roti bakar. Tak pandai rupanya bebudak ni makan telur setengah masak. Menyambuung semula perjalanan setelah kenyang dan berhenti solat di Senawang. Alhamdulillah selamat sampai ke sekolah pada jam 8.45 malam. Terimak kasih Melaka kerana sudi menjemput kami.

Sunday, 10 December 2017

Majlis Perkahwinan Aisyah dan Wafi

Akhirnya kami ke Bukit Aman setelah berjaya memecah benteng di IPD Shah Alam dan Kelang. Majlis perkahwinan rentetan persembahan kami di  majlis perkahwinan di SSAAS dua minggu yang lalu. Tempahan secara adhoc oleh pengantin perempuan.


Bertolak dengan van Pak Agus menuju ke Kuala Lumpur....kota yang penuh dengan cabaran dan harapan kata Malek Riduan. Uncle Sam sudah sedia menanti kami di pintu pagar masuk ke IPD Bukit Aman dan terus membawa kami ke mes pegawai. Mendengar arahan Uncle Sam untuk majlis yang akan dimulakan pada pukul 12.00 tengahari nanti dan kemudian bersiap-siap seperti biasa. Setelah selesai sesi makan-makan pula.

 


Menanti lagi........bosan juga. Macam-macam perkara dibuat untuk menghilangkan kebosanan. Ke tandas sudah entah yang ke berapa kali. Jam 1.30 pm maka bermulalah peranan kami mengiringi pengantin masuk dan kemudian disertai dengan persembahan di hadapan pengantin. Kami mengambil alih pula membuat persembahan seterusnya di dalam majlis tersebut. 





Hampir kepada tiga lagu terakhir.....anak-anak angklung mahu menari di tengah-tengah dewan. Kubiarkan sahaja. Mungkin mereka dah kebosanan  berdiri di bawah tiang...huhuhuhu. Kebetulan bos kepada pengantin sudah tiba. Jadi kami membuat persembahan di hadapan tetamu khas tersebut.


Selesaikan sahaja persembahan kami menghabiskan 2 buah lagu lagi dan kemudian menutup tirai persembahan dengan bergambar dengan sang mempelai dan makan sekali lagi. 


Anak-anak angklung sempat berselfie dengan di booth pengantin. Bersiap-siap untuk pulang dan kemudian bergerak ke Shah Alam. Perjalanan amat singkat kerana jalan tidak jem. Namun Pak Agus kutinggalkan apabila kami terpisah di tol. Jem pula di situ. Kutinggalkan pesanan di whatsapps untuk meneruskan perjalanan dan bertemu di sekolah nanti.

Friday, 1 December 2017

Karnival Planet Ummah

Kolaborasi bersama-sama Arkib Negara (Pustaka P.Ramlee) kami di Putrajaya hari ini. Puan Darsilah telah membuat tempahan awal untuk majlis ini. Van daripada arkib negara menjemput kami di sekolah pagi ini. Bertolak sebaik sahaja van sampai di sekolah bersama-sama 14 orang anak-anak angklung. Aku ditemani anak bujangku Haniff hari ini yang akan menjadi jurukamera untukku.


Bersiap-siap pada jam 12.00 tengahari sementara menanti makan tengahari tiba. Hari ini jejaka angklungku memakai seluar kunyit yang baharu sahaja kubelikan, berkemeja putih, bertali leher, memakai topi dan berkacamata hitam. Sementara itu, dara idamanku pula memakai baju lace hitam merah dan berseluar palazo merah. Juga baharu kubeli di GM, Kelang.


Jam 2.30 petang kami menuju ke pentas utama setelah selesai makan dan terus membuat persiapan.
Jam 2.45 petang memulakan persembahan dengan dimulai lagu Aci Aci Buka Pintu.


Persembahan di pentas utama diakhiri dengan lagu Lagenda. Sempat juga kami memainkan lagu Yek Liang Tai Piau Wo De Xin untuk para pelancong dari negara China, Korea, Taiwan....entahlah. Bilaku tanya dari mana mereka tak pandai nak menjawab dalam bahasa Inggeris malahan mereka bercakap dalam bahasa mereka. Maka macam ayam dengan itik berboraklah kami. Merakamkan memori bersama-sama para pelancong sebelum berkemas.


Kembali ke khemah Pustaka P.Ramlee dan membuat persiapan di sana pula. Menghiburkan para pengunjung di booth P.Ramlee bersama-sama Pak Pandir dan kembar P.Ramlee. Ramai pengunjung menonton persembahan kami di sini. Jam 6.30 petang kami beransur pulang ke Shah Alam. Selamat tinggal Putrajaya. Moga kita jumpa lagi tahun hadapan.






Sunday, 26 November 2017

Majlis Perkahwinan Fifi dan Jaffreen

Persiapan telah lama dibuat dan hari ini 26 November, persembahan angklung menggunakan penari buat pertama kalinya setelah 6 tahun penubuhannya. Latihan tarian telah diketua oleh abang Bardrul dan mereka telah berlatih selama beberapa minggu. Alhamdulillah, dapat mereka melakukan pergerakan tarian seperti yang diinginkan dalam latihan. Berbekalkan 17 orang pemain angklung dan 4 orang penari kami menuju ke Dewan Jubli Perak yang bertempat di Bangunan SSAAS. Jam 10.00 agi kami bertolak ke sana. Hujan gerimis....




Membuat persiapan dan perbincangan dengan emcee yang bertugas dan floor manager anak lelaki kepada tuan rumah. Setelah itu anak-anak angklung dan penari bersiap-siap dan makan sebelum pengantin tiba. 

  

Semasa menanti perubahan sekali lagi berlaku. Pengantin tak mahu turun naik pelamin banyak kali so depa tukar aturcara. Dimulakan dengan iringan ke pelamin dan terus memotong kek. Kemudian ke meja makan disertaikan dengan persembahan pertama angklung.




Berehat seketika menanti azan Zohor dan kemudian disambung dengan ucapan dan persembahan slide. Sebaik sahaja selesai persembahan kedua dipersembahkan. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar. Anak-anak angklung terus bergerak ke hadapan sebaik sahaja selesai persembahan dan bersedia untuk membuat persembahan seterusnya. Lama juga kami menanti ......



30 minit berlalu dengan pantas. Persembahan terakhir kami diakhiri dengan lagu Poco Poco. Bersungguh-sungguh bebudak ni mempersembahkan alunan lagu dengan angklung. Setelah makan dan minum lebih kurang serta bergambar dengan pasangan mempelai kami pun pulang. Awan mendung menanda hari akan hujan dengan lebatnya. Berdoa agar Pak Agus tiba sebelum hujan membasahi bumi Shah Alam ini sekali lagi.Terima kasih kepada pasangan mempelai dan ibunya yang sudi menjemput kami. Semoga persembahan kami dapat menghiburkan para tetamu dan pengantin. 


Monday, 13 November 2017

Gotong-royong Perdana Part 2

Isnin, 13 November 2017 selepas mengambill ubat terus ke sekolah. Ambil sarapan dan kemudian meneruskan kerja-kerja melakar mural di dinding sebelah Bilik Angklung. Jam 10.00 pagi muncul Elisa dan Aslinda. Tugasan mereka hari ini....membersihkan bata dan mengecat bata dengan warna biru muda. Cat yang diperolehi daripada bengkel KH. TQ Rahani bagi kami cat. Aku terus melakar. Tak boleh nak serah pada mereka tugasan ini. Agak kritikal. Aku pun terhegeh-hegeh nak buat ni....

Jam 1.00 petang berehat sebentar dan hilangkan dahaga di kantin. Ehsan meminta kunci bilik angklung untuk meneruskan kerja-kerja di Laman Nada. Jam 2.00 petang kulihat Ehsan dan Aslinda  sedang mengecat bata-bata yang masih belum dicat. Bagus....pandai mereka menjalankan tugas tanpa arahan.

Aku terus melakar dalam panas terik dan berehat sebentar pada jam 3.00 petang untuk menjalankan tugas guru disiplin untuk pendaftaran budak-budak dari SK1 hari ini yang dijalankan di kantin. Agak-agak sudah reda aku menyambung semula tugasan melakar di belakang. Sebaik sahaja mengecat selesai aku arahkan Ehsan untuk menyiapkan lakaran sementara aku menjadi pemerhati. Akhirnya siap juga lakaran 3D . Okey.....kita unggu esok. Apa cerita seterusnya.






Thursday, 9 November 2017

Gotong-royong Perdana

Aktiviti yang tidak dirancang pagi ini. Membersih dan mengemaskini Laman Nada. Mural pun nak tukar ....dah 2 tahun kot umur mural yang ada kat dinding tu. Alhamdulillah semua memberi kerjasama dalam aktiviti ini. Terima kasih anak-anak angklung atas sokongan.









Wednesday, 8 November 2017

Latihan Tarian Bersama-sama Abang Bardrul

Persediaan untuk  majlis perkahwinan pada 26 November nanti di Dewan SUK... membuat temu janji dengan Bardrul untuk mengajar step tarian kepada anak-anak angklung. Dalam kesibukan duti di sekolah menjaga anak-anak menghadapi SPM paper Sejarah hari ini, sempat menguruskan aktiviti kelab dan Cikgu CT juga turut membantu. Alhamdulillah, berkat latihan yang dilakukan setiap hari oleh anak-anak angklung banyak membantu step tarian hari ini. Sekejap sahaja mereka dapat mengikuti rentak tari abang Bard. Tinggal esok sahaja untuk mencuba dengan angklung. So....tunggu!