22 Mac menaiki trak polis menuju ke IPD Shah Alam di seksyen 9. Menanti abang drebar polis datang mengambil kami di stesen minyak Petronas berhampiran AEON Shah Alam oleh kerana kami baharu sahaja selesai mengiringi perasmi AEON. Pertama kali anak-anak angklung menaiki trak ni.
Latihan hari ini di dalam dewan sahaja. Ahli-ahli koir polis pun belum berkumpul lagi. Kuarahkan anak-anak angklung pergi solat dahulu sementara menanti. Latihan dimulakan jam 4.00 petang setelah semua alatan tersedia. Agak berterabur jugalah. Namun ianya dapat diatasi dengan baik. Jam 5 petang kami berangkat pulang ke sekolah.
23 Mac 2016....sekali lagi kami ke IPD Shah Alam untuk raptai penuh bersama pasukan polis. Cuaca agak redup. Alhamdulillah, namun bahang panas tetap terasa.
Setelah mencuba beberapa kali akhirnya kata putus diberikan ....kami akan mainkan lagu tanpa menggunakan minus one. Bergabung dengan pasukan koir polis. Satu pengalaman baru untuk kelab ini. Jam 5.00 petang latihan berakhir dan kami dihantar pulang dengan trak sekali lagi.
24 Mac 2016 raptai terakhir sebelum majlis sebenar berlangsung esok. Hari ini kami bertolak pagi ke balai. Bersarapan pagi di kantin dengan bekal yang telah ditempah pada abang Din kantin semalam. Setelah sedia kami berkumpul di hadapan balai untuk menjalani raptai penuh.
Sekejap sahaja raptai pada pagi ini. Hanya dua kali raptai dilaksanakan dan semuanya berjalan lancar. Kami bertolak pulang awal ke sekolah hari ini dan meneruskan latihan untuk persembahan lain.
25 Mac 2016 Hari Polis yang ke 209 tahun. Kami menanti pengangkutan tiba selama 2 jam. Alhamdulillah pengalaman mengajar aku untuk menyiapkan anak-anak angklung lebih awal supaya tidak tergesa-gesa nanti. Sampai sahaja di balai kami disambut mesra dan diberikan tempat untuk meletakkan barang dan alatan. Terus kami bersiap-sedia untuk majlis berlangsung. Posing dahulu.
Tepat jam 3.30 petang sambutan pun dimulakan. Cuaca sungguh panas hari ini. Alhamdulillah diberitahu tadi banyak acara dicantas. Bimbang juga aku budak-budak ni berjemur di bawah terik mentari.
Majlis berjalan dengan lancar. Dua buah lagu polis didendangkan dengan baik sekali oleh pasukan koir dan kelab angklung. Satu kerjasama yang jitu. Setelah menikmati minum petang kami bertolak pulang dengan gembira. Walaupun penat sepanjang minggu ini namun pengalaman yang diterima mengatasi segala penat-lelah yang dilalui. Tahniah kepada anak-anak angklung Wariseni!
No comments:
Post a Comment